COVID-19: Kematian Di Sabah Babit OKU Penglihatan 91 Tahun

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Malaysia merekodkan kes positif baharu Covid-19 tertinggi hari ini dengan 3,337 kes dengan 15 kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebelum ini rekod kes tertinggi yang pernah dilaporkan adalah pada 12 Jan lepas, dengan 3,309 kes.

Daripada 3,337 kes itu, Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 1,036 kes, diikuti Johor (460), Sabah (389), Kuala Lumpur (257) dan Pulau Pinang (234).

Hari ini Sabah merekodkan kes kematian tertinggi dengan lapan yang dilaporkan di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu (6) dan dua di Hospital Lahad Datu. Satu kematian di Sabah ini melibatkan warga emas yang cacat penglihatan yang berusia 91 tahun.

Manakala, dua kematian di Hospital Sungai Buloh, Selangor; dua kematian di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom Kluang, Johor dan satu kematian di Hospital Serdang, Selangor; Hospital Selayang, Selangor dan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Kesemua 15 kematian ini berusia antara 27 hingga 91 tahun dan kesemua mempunyai sejarah penyakit kronik seperti penyakit kencing manis, darah tinggi dan obesiti.

Untuk kes baharu hari ini, 3,330 kes jangkitan tempatan dan tujuh kes import.

Hari ini sebanyak tujuh kluster baharu dilaporkan di Malaysia iaitu kluster Jalan Selayang, Selangor dengan kumulatif 84 kes positif; kluster Tropika, Johor (55); kluster Pantai Barat, Johor (92); kluster Tapak Bina Dutamas, Kuala Lumpur (18); kluster Jalan Pahang, Kuala Lumpur (6), kluster Jalan Rantau-Silau (96); kluster Intan Mas, Perak (15).

Sementara, bilangan kes pulih hari ini sebanyak 1,710 kes, dengan kumulatif kes pulih sebanyak 113,288 kes.

Tambahan kes baharu hari ini menjadikan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 147,855 kes. Sebanyak 33,989 kes aktif dengan 195 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 86 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.