COVID-19: JABATAN KESIHATAN LABUAN TERIMA RM1 JUTA UNTUK BELI UBAT-UBATAN, PERALATAN

LABUAN, 21 Mac  — Jabatan Kesihatan Labuan telah menerima sejumlah RM1 juta sebagai peruntukan bagi pembelian ubat-ubatan dan peralatan dalam usaha menangani pesakit yang memiliki gejala-gejala COVID-19 di pulau itu.

Pengarahnya Dr Ismuni Bohari berkata dana itu diperuntuk susulan terdapat keperluan bagi melengkapi Hospital Labuan dengan ubat-ubatan dan peralatan terbabit.

“Kami dalam proses menyediakan senarai pembelian bagi ubat-ubatan dan peralatan yang diperlukan bagi menangani kemungkinan berlaku peningkatan dalam kes COVID-19… kami mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan atas keprihatinan mereka terhadap keperluan kami di Labuan,” katanya kepada Bernama di sini.

Labuan telah mencatat lima kes COVID-19 setakat hari ini dan semua kes mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur yang berlangsung dari 28 Feb hingga 2 Mac.

Dr Ismuni turut mendedahkan bahawa Labuan telah menerima Pengangkut Pesakit Berjangkit bertekanan negatif yang akan membantu kakitangan perubatan melindungi diri mereka daripada dijangkiti penyakit mudah berjangkit seperti COVID-19 semasa proses rawatan.

Beliau berkata peralatan itu bermanfaat kepada kakitangan perubatan kerana ia membantu menghalang mereka daripada dijangkiti penyakit mudah berjangkit (HID) yang boleh dipindahkan daripada seorang individu kepada individu lain.