Covid-19: Hanya Satu Kes Baharu Dilaporkan Di Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Setelah dua hari tiada sebarang kes baharu dilaporkan di Sabah, hari ini terdapat satu kes positif Covid-19 dilaporkan.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, dengan pertambahan satu kes baharu itu menjadikan keseluruhan kes di Sabah kini adalah sebanyak 312 kes.

Satu kes baharu itu dilaporkan berlaku di Kota Kinabalu dan menjadikan kes di daerah ini sebanyak 48.

Tiada sebarang kes pulih dilaporkan hari ini dan bilangan kumulatif kes pulih setakat ini kekal 212 orang, manakala 89 kes aktif, iaitu kes yang masih dirawat dan tujuh kes yang telah pulih dirawat semula.

Bilangan pesakit yang masih berada dalam wad di enam hospital berpakar di seluruh Sabah adalah seramai 96 orang.

Tujuh kes dirawat semula itu masing-masing satu di Kota Kinabalu, Lahad Datu, Tuaran, Kinabatangan dan Kota Belud serta dua kes dirawat semula di Putatan.

Sehingga kini, Tawau kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 81 kes termasuk 20 kes aktif. Ia diikuti dengan Kota Kinabalu yang mempunyai 48 kes termasuk 19 kes aktif dan satu kes dirawat semula. Seterusnya adalah Lahad Datu dengan 42 kes termasuk lapan kes aktif dan satu kes dirawat semula.

Setakat ini, empat kematian direkodkan di Sabah iaitu dua kes di Kota Kinabalu dan satu kes masing-masing di Tawau, Tambunan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini sebanyak 40 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 5,820 kes. Ia termasuk 3,957 kes yang sudah pulih, setakat ini. Kes kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia adalah sebanyak 99 kematian, termasuk satu kes kematian hari ini.

Seramai 37 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 17 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.