Covid-19: Hanya Satu Kes Baharu Dilaporkan Di Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Hanya satu kes baharu positif Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini, menjadikan jumlah kes keseluruhan sebanyak 338.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, pertambahan kes itu dilaporkan di Kota Kinabalu yang kini mencatatkan bilangan kes kumulatif sebanyak 59 kes termasuk 46 kes pulih dan 10 kes aktif.

Setakat ini, sembilan daerah masih mencatatkan kes aktif dengan jumlah kes aktif tertinggi adalah di Kota Kinabalu, diikuti Lahad Datu dan Kinabatangan dengan empat kes.

Manakala, tiga kes aktif masing-masing dilaporkan Semporna dan Keningau. Sementara, dua kes di Tawau dan Tuaran serta satu kes di Penampang dan Kunak.

Beliau berkata, terdapat satu kes pulih dilaporkan hari ini dan bilangan kumulatif kes pulih setakat ini adalah seramai 303 kes.

Sehingga kini, jumlah kes kematian di Sabah kekal dengan lima kes iaitu tiga kes di Kota Kinabalu dan satu kes masing-masing di Tawau dan Tambunan.

Sebanyak 31 kes baharu positif dilaporkan di Malaysia hari ini dengan jumlah keseluruhan kes Covid-19 setakat ini adalah sebanyak 7,009 kes.

Manakala, terdapat 60 kes yang pulih hari ini dan bilangan kumulatif kes pulih sehingga kini adalah sebanyak 5,706 kes. Kes kematian di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 114 kematian.

Seramai 11 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, tujuh pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.