Covid-19: Hanya Satu Kes Baharu Di Sabah Hari Ini

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan hanya satu kes baharu positif Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri adalah sebanyak 170 kes.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon menerusi akaun Facebooknya memaklumkan, kes di negeri ini bertambah daripada 169 kes semalam kepada 170 kes setakat ini.

Menurut statistik itu, hanya daerah Penampang yang menyumbang kepada satu kes di negeri ini manakala daerah-daerah lain kekal tiada kes baharu dilaporkan untuk hari ini.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 15 kematian di seluruh Malaysia termasuk satu kes kematian terbaru hari ini.

Setakat hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 106 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 1,624 kes termasuk 183 kes yang telah pulih sepenuhnya.

Daripada 106 kes baharu itu, 43 adalah daripada kluster perhimpunan tabligh manakala  63 kes lagi adalah berkaitan dengan lain-lain kluster dan masih lagi dalam siasatan untuk kepastian.

Sebanyak 64 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 27 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.