Covid-19: Empat Kes Baharu Di Sabah

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Sebanyak empat kes baharu positif COVID-19 direkodkan di Sabah setakat pukul 6.30 petang hari ini menjadikan sebanyak 201 kes di negeri ini.

Daripada jumlah itu, Sabah menjadi negeri keempat tertinggi merekodkan kes positif COVID-19 selepas Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam laman Facebook berkata, daerah di Sabah yang mencatatkan rekod tertinggi adalah Tawau iaitu 60 kes diikuti Lahad Datu (34 kes) termasuk enam yang sudah pulih, Kota Kinabalu (29 kes), Sandakan (15) termasuk tiga yang sudah pulih dan Kinabatangan (14 kes) termasuk dua yang sudah pulih.

Selain itu, Tuaran 12 kes, Beaufort, Kunak, Putatan, masing-masing mencatatkan tujuh kes positif manakala Kota Belud (lima kes), Sipitang (empat kes), Papar dan Ranau dua kes, Penampang, Semporna dan Tambunan masing-masing satu kes.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 37 kematian di seluruh Malaysia termasuk tiga kes kematian terbaru hari ini.

Sementara itu, sebanyak 156 kes baharu Covid-19 disahkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia sebanyak 2,626 kes.

Sebanyak 94 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 62 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.