Covid-19: Empat Kematian Baharu Termasuk Satu Kes Di Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUALA LUMPUR: Empat lagi kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini iaitu dua di Sarawak dan satu masing-masing di Sabah serta Kuala Lumpur.

Dengan pertambahan itu, jumlah kematian di Malaysia meningkat kepada 61 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat kes yang dilaporkan hari ini melibatkan empat orang lelaki berusia antara 53 hingga 72 tahun.

Kes kematian di Sabah membabitkan pesakit berusia 66 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau disahkan meninggal dunia di Hospital Keningau pada 4 April.

Manakala, kes kematian di Hospital Umum Sarawak (HUS) melibatkan pesakit berusia 72 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi dan pesakit berusia 53 tahun.

Untuk kes kematian di Hospital Kuala Lumpur pula, ia melibatkan pesakit berusia 68 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis.

Dua kematian pertama di Malaysia dilaporkan pada 17 Mac lalu melibatkan peserta himpunan tabligh berusia 34 tahun di Johor dan paderi berusia 60 tahun di Kuching, Sarawak.

Mengenai statistik saringan Covid-19 di Malaysia, sehingga kini seramai 51,937 orang telah menjalani ujian dimana, 39,877 disahkan negatif dan 3,662 disahkan positif. Manakala, sebanyak 8,398 kes masih menunggu keputusan.