COVID-19: EMPAT KAKITANGAN PELABUHAN KONTENA LABUAN DIARAH JALANI SARINGAN

LABUAN: Empat kakitangan kaunter hadapan (front desk staff) Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) (operator pelabuhan kontena Labuan – Dermaga Merderka Labuan) diarahkan menjalani saringan COVID-19 malam ini atau esok pagi (Ahad) berikutan seorang kliennya (pengguna pelabuhan) dipercayai didapati positif COVID-19.

Ketua pegawai eksekutifnya Datuk Seri Mohd Alias Abd Rahman berkata pengesahan kliennya yang diuji positif oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Labuan memerlukan pihaknya bertindak segera membendung wabak itu dikalangan kakitangannya dan kliennya lain.

“Pihak kami dimaklumkan oleh CPRC Labuan malam ni berhubung keperluan kakitangan kami yang berurusan hampir setiap hari dengan klien kami itu yang disahkan ada simptom COVID-19 untuk segeran jalani saringan, dan kami harus bertindak sewajarnya,”katanya ketika dihubungi malam ini.

Labuan telah merekodkan penambahan lima kes baharu hari ini menjadikan kumulatif bertambah kepada 10 kes setakat malam ini.

Alias berkata susulan penularan wabak COVID-19, pihak pengurusan LLPM telah mengambil pendekatan dan langkah-langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan penjarakan sosial dan pembersihan setiap masa di kesemua kawasan dan bahagian-bahagian yang terdedah dengan sentuhan kakitangan, klien dan pengguna pelabuhan lain.

Pengurus besar LLPM Ghani Paijan berkata pihaknya sedang menimbang untuk menjalankan kerja-kerja disinfeksi di kawasan-kawasan yang dikenal pasti termasuklah dipintu masuk utama (main gate) Dermaga Merdeka Labuan yang menempatkan anggota keselamatan dan lain-lain yang akan dikenal pasti dengan bantuan pegawai Jabatan Kesihatan Labuan.