Covid-19: Dua Lagi Maut, 1,487 Pulih

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KUALA LUMPUR : Jumlah kematian akibat Covid-19 meningkat dua kes, daripada 63 yang dilaporkan semalam kepada 65 hari ini.

Peningkatan kes harian pula sebanyak 156, menjadikan jumlah keseluruhan 4,119 kes.

Walau bagaimanapun, negara hari ini terus mencatat perkembangan positif apabila seramai 1,487 kes telah dilaporkan sembuh.

Seramai 76 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, 46 memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam sidang medianya hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa dua kematian baru melibatkan seorang warganegara Malaysia dan seorang warganegara Pakistan.

Katanya, kedua-dua yang menjadi korban Covid-19 berkenaan mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Dr Noor Hisham juga mendedahkan  terdapat empat kluster yang terlibat dalam kes positif Covid-19 di negara ini iaitu kluster Itali, kluster gereja Kuching, kluster kenduri dan kluster perhimpunan Tabligh di Sri Petaling.

Selain itu, beliau berkata, daripada 65 kes kematian yang dilaporkan hari ini, 60 peratus kematian tersebut merupakan golongan yang berumur 60 tahun dan ke atas manakala 30 peratus kematian pula melibatkan perhimpunan di Masjid Sri Petaling.

Berikut merupakan dua kes kematian terbaru:

Kes kematian ke-64 merupakan seorang perempuan warganegara Malaysia berumur 58  tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 30 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 3.20 petang, semalam.

Kes ke-65 pula merupakan seorang lelaki warganegara Pakistan yang berusia 69 tahun yang mempunyai latar belakang kencing manis.

Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Sri Petaling. Mangsa berkenaan dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mac dan  disahkan meninggal dunia pada 9.30 pagi ini.