Covid-19: Dua Lagi Kematian Dilaporkan Di Sarawak

KUCHING: Sarawak melaporkan dua lagi kematian akibat Covid-19, menjadikan keseluruhan kes kematian di negeri ini meningkat kepada tiga.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, dua kes kematian itu melibatkan pesakit wanita berusia 79 tahun serta anaknya yang berusia 40 tahun.

Berdasarkan kenyataan itu, pesakit wanita berusia 79 tahun itu disahkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta pada 2 pagi Khamis (18 Mac) manakala, anaknya meninggal dunia pada 1 petang tadi di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Dengan dua kematian ini, bilangan kematian di Malaysia bertambah kepada enam.

Pada 10.30 pagi tadi, satu kematian dilaporkan di Hospital Melaka melibatkan seorang pesakit berusia 50 tahun daripada kluster perhimpunan tabligh. Manakala, pada 6.27 petang semalam, kematian ketiga direkodkan di Hospital Tawau, juga melibatkan peserta perhimpunan tabligh yang berusia 58 tahun.

Pada Selasa (17 Mac), dua kematian direkodkan akibat Covid-19 di Malaysia membabitkan peserta perhimpunan tabligh (lelaki) berusia 34 tahun di Johor dan paderi berusia 60 tahun di Sarawak.

Jawatankuasa itu memaklumkan, laporan kematian membabitkan wanita 79 tahun itu agak lambat susulan hospital swasta dimana, wanita itu dirawat perlu mendapatkan keputusan ujian daripada maklmal swasta di Kuala Lumpur.

Terdapat seorang lagi ahli keluarga mereka yang turut disahkan positif Covid-19 yang kini dirawat di HUS dengan bantuan mesin pernafasan.

Jabatan Kesihatan Sarawak masih menyiasat kluster kes bagi kedua-dua kematian berkenaan.