Covid-19: Dua Kes Baharu Labuan Babitkan Warga Asing Dari India

Oleh AZIS KHAN
LABUAN: Labuan mencatatkan kes baharu Covid-19 hari ini melibatkan dua individu dari India yang baru tiba di pulau bebas cukai itu.

Perkara tersebut disahkan Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr. Ismuni Bohari dalam satu kenyataan.

“Hari ini, dua kes baharu Covid-19 yang dikategorikan kes import melibatkan bukan warganegara yang tiba dari India dilaporkan di Labuan,” katanya.

Katanya, pemeriksaan kesihatan di pintu masuk utama pulau bebas cukai itu akan diperketatkan.

“Mereka yang pulang ke Labuan selepas berada di Lahad Datu dan Tawau wajib menjalani ujian swab dalam tempoh tiga hari sebaik tiba di Labuan.

“Ini adalah prosedur operasi standard (SOP) normal untuk mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan yang mempunyai peningkatan kes Covid-19,” katanya.

Sementara, 36 kes baharu masing-masing 27 di Tawau, lima di Semporna, tiga di Lahad Datu dan satu di Kunak.

Daripada jumlah itu, 27 kes dari kluster Benteng dan dua kes dari kluster Selamat. Terdapati satu kes masing-masing bagi kluster Pulau dan Bakau.

Manakala, satu kes saringan komuniti Semporna melibatkan warganegara, satu kes saringan pra-pembedahan Hospital Lahad Datu, satu kes saringan masuk kerja dan dua kes petugas kesihatan di Hospital Lahad Datu.

Dengan tambahan 36 kes baharu itu, kes Covid-19 di Sabah kini mencecah 1,080 kes dengan 560 adalah kes aktif.