Covid-19: Dua Kes Baharu Di Sabah

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Sabah yang kini merupakan negeri keempat tertinggi bagi kes positif Covid-19, hanya mencatatkan sebanyak dua kes baharu pada hari ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon menyatakan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sabah adalah sebanyak 172 kes.

Setakat ini, hanya daerah Tawau dan Kota Kinabalu menunjukkan peningkatan satu kes manakala daerah-daerah lain tiada sebarang pertambahan kes.

Tawau yang sebelum ini merekodkan satu kematian mencatatkan sebanyak 50 kes manakala Kota Kinabalu sebanyak 24 kes.

Lahad Datu kekal 34 kes, diikuti daerah Tuaran melaporkan 12 kes; Kinabatangan dan Sandakan mempunyai 11 kes termasuk satu kes sudah pulih di Sandakan; enam kes di Beaufort;  lima kes masing-masing di Kota Belud dan Kunak.

Manakala, empat kes masing-masing di Sipitang dan Putatan; dua kes di Papar dan Ranau serta satu di Semporna dan Penampang.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 23 kematian di seluruh Malaysia termasuk empat kes kematian hari ini.

Setakat ini, 23 kes kematian Covid-19 dilaporkan di Malaysia.

Untuk hari ini, KKM melaporkan 235 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 2,031 kes termasuk 215 kes yang telah pulih sepenuhnya.

Daripada 235 kes baharu itu, 60 adalah daripada kluster perhimpunan tabligh.

Sebanyak 45 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 32 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.