Covid-19: Dua Kes Baharu, 308 Kes Keseluruhan Di Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan bilangan kes baharu positif Covid-19 yang semakin berkurang, dengan hari ini hanya dua kes baharu dilaporkan.

Dua kes baharu itu masing-masing dicatatkan satu di Tuaran dan Ranau.

Dengan pertambahan itu,  Tuaran kini mencatatkan 22 kes dan Ranau sebanyak tiga kes.

Menteri Kesihatan & Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, dengan pertambahan itu, keseluruhan kes Covid-19 di Sabah adalah sebanyak 308 kes.

Sementara itu, 12 kes pulih dilaporkan hari ini, dengan bilangan kumulatif yang pulih setakat ini adalah 184 orang.

Setakat ini, empat kematian direkodkan di Sabah dengan dua kes di Kota Kinabalu dan satu kes masing-masing di Tawau dan Tambunan.

Bilangan kes aktif yang masih dirawat di hospital seluruh Sabah adalah sebanyak 120 kes.

Manakala daerah lain seperti Tawau,  Kota Kinabalu, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan, Keningau, Penampang, Beaufort, Kunak, Putatan, Kota Belud, Sipitang, Papar, Tambunan dan Semporna tidak menunjukkan sebarang pertambahan kes pada hari ini.

Tawau masih mencatatkan kes tertinggi di Sabah dengan 81 kes, diikuti oleh Kota Kinabalu dengan 44 kes dan Lahad Datu 42 kes.