COVID -19: Dewan Perniagaan Cina Labuan minta pengecualian cukai selama enam bulan

LABUAN, 24 Mac  — Komuniti perniagaan Labuan bimbang COVID-19 akan menjejaskan ekonomi sehingga menyukarkan kelangsungan untuk meneruskan perniagaannya.
“Sesiapa pun tidak boleh menjangkakan berapa banyak kesan negatif ia memberi kesan kepada perniagaan kerana jumlah kes jangkitan virus itu nampaknya meningkat setiap hari,” keluh pemimpin industri perniagaan di sini.

Merujuk kepada pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan lain diperkenalkan kerajaan untuk mengurangkan impak, Dewan Perniagaan Cina Labuan (LCCC) meminta pengecualian cukai, sekurang-kurangnya enam bulan untuk membolehkan ahli-ahlinya menguruskan keadaan sukar yang mereka hadapi.

Presiden LCCC, Datuk Wong Kii Yii berkata kesan COVID-19 terhadap aktiviti perniagaan di Labuan penting kerana 85 peratus ahli LCCC sedang bergelut mengharunginya.

Datuk Wong Kii Yii

“Pengguna (pelanggan) berada di rumah, perniagaan kehilangan pendapatan, kelewatan sewa premis perniagaan bulanan, pekerja diberhentikan, justeru kemungkinan kadar pengangguran meningkat dan kemuflisan korporat melonjak, meletakkan tekanan yang ketara kepada unit perniagaan seperti kami.

“Kami telah terjejas dari segi pendapatan, perniagaan dibebani hutang, jadi kami berharap kerajaan bersedia mempertimbangkan rayuan kami (pengecualian cukai) untuk membolehkan kita terus bertahan,” katanya kepada Bernama.

Menghadapi realiti mengenai penurunan tahap keyakinan pengguna, krisis kecairan dan risiko kegagalan bayaran kredit, badan perniagaan tempatan menegaskan kerajaan perlu menangani keadaan itu dengan segera.