Covid-19: Degil Langgar Perintah Kuarantin, Dua Individu Dikenakan Tindakan

CHRISTINA RUNDI

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Akibat degil hingga melanggar perintah kuarantin, dua lagi individu dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, dua individu di Tawau itu antara 5,644 kontak rapat yang merupakan pesakit di bawah siasatan (PUI) yang dikehendaki menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

Beliau berkata, kedua-dua individu berkenaan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15(1) dan Seksyen 22, APPPB 1988.

Katanya, daripada 5,644 kontak rapat yang telah diarahkan menjalani kuarantin di rumah, 394 orang telah tamat menjalani kuarantin.

Manakala, daripada 658 orang yang ditempatkan di Pusat Kuarantin, 18 orang telah dibenarkan pulang.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini pada 11.20 malam, semalam.

Menurutnya, semalam sebanyak 15 kes positif Covid-19 dilaporkan di Sabah menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 meningkat kepada 197 kes. 

“Daripada jumlah itu, seorang pesakit dari daerah Tambunan telah dimasukkan ke Hospital Keningau. 

“Sementara, satu Pusat Kuarantin yang baru telah dibuka di daerah Kota Kinabalu iaitu Monaco Boutique Hotel, Sadong menjadikan secara kumulatif 20 Pusat Kuarantin di seluruh negeri,” ujarnya.

Christina berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengambil maklum tentang beberapa isu di tiga Pusat Kuarantin iaitu Akademi Bomba, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Bukit Padang dan Politeknik Kota Kinabalu terutamanya dari segi fizikal dan perkhidmatan yang disediakan.

Perkara ini telah diambil tindakan pembetulan oleh jabatan dan agensi yang bertanggungjawab.