COVID-19: Daerah Di Sabah Beralih Kepada Zon Jingga, Kuning

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini menurun kepada 134 kes berbanding semalam, 157 kes.

Hari ini, hanya 16 daerah merekodkan kes positif baharu sementara 11 daerah tidak mencatatkan sebarang kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, dua lagi daerah berukar dari zon merah kepada zon jingga hari ini iaitu Papar dan Kota Belud.

Peralihan ini menjadikan hanya tinggal 11 daerah dalam zon merah, tiga daerah zon jingga dan 11 daerah zon kuning. Manakala, dua daerah lagi berada dalam zon hijau iaitu kawasan yang tidak lagi mencatatkan sebarang kes positif yang aktif.

Beliau berkata, daripada 134 kes baharu hari ini, Nabawan kekal mencatatkan kes tertinggi selama empat hari berturut-turut dengan 43 kes, diikuti dengan Kinabatangan (19), Kota Kinabalu (14), Tawau (14), Kunak (12), Keningau (7), Kalabakan (6), Kota Marudu (5), Tuaran (3), Kudat (3), Lahad Datu (2), Kota Belud (2) dan satu kes masing-masing di Sandakan, Beluran, Semporna dan Sipitang.

Menurutnya, daripada 134 kes positif itu, sebanyak 48 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala sembilan kes, saringan kluster sedia ada 71 kes, saringan Perkeso tiga kes dan tiga kes adalah dari lain-lain kategori.

Kes pulih yang dilaporkan hari ini sebanyak 161 kes dengan bilangan kumulatif 51,523 kes. Manakala, kematian di Sabah kekal 372 kes.

Setakat ini, sebanyak 52,886 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 713 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 257 orang di hospital dan 448 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) serta lapan orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.

Terdapat 35 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 17 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah 5,698 katil dan peratus penggunaan adalah 12.51 peratus.

Sepanjang tempoh 24 jam, sebanyak 34,899 kenderaan diperiksa dalam sekatan jalan raya (SJR) yang dilakukan di seluruh Sabah dan 22 buah kenderaan diarah berpatah balik. Manakala, 12 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.