Covid-19: Buat Baik Dibalas Baik, Kini Giliran China Bantu Sabah

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Usaha Kerajaan Sabah mewujudkan tabung We Care, We Love yang berjaya mengutip sebanyak RM2 juta bulan lalu untuk membantu China yang ketika itu masih terjejas teruk akibat wabak Covid-19 kini mendapat pembalasan sewajarnya.

Ketika Sabah pula yang masih bekerja keras memerangi wabak berkenaan, Kerajaan China yang telah berjaya membendung penyakit tersebut tampil membalas budi dengan menyumbang kira-kira 170,000 kotak penutup hidung dan mulut, peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan cecair pembasmi kuman.

Sebahagian daripada barangan kesihatan itu tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada pukul 3.10 petang tadi menggunakan penerbangan AirAsia dari Gangzhou, China.

Hadir menyambut ketibaan semua barangan berkenaan adalah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Konsulat Besar China di Kota Kinabalu, Liang Caide; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Junz Wong.

Ketua Menteri berkata, sebahagian lagi daripada barangan yang disumbangkan akan tiba ke Sabah selepas ini dyang dapat membantu usaha kerajaan negeri bersama semua agensi di barisan hadapan menangani wabak Covid-19 di negeri ini.

“Bagi pihak kerajaan negeri Sabah dan Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada konsulat dan Kerajaan China yang telah membantu kita bukan hanya daripada segi bantuan bekalan tetapi saya difahamkan juga beberapa pakar yang mempunyai pengalaman akan dihantar dalam masa akan datang,” katanya daam sidang akhbar selepas itu.

Sebelum ini, Sabah merupakan satu-satunya kerajaan negeri yang mengambil kesempatan membantu China dengan menyerahkan sumbangan derma RM2 juta ketika negara itu berdepan situasi getir menentang koronavirus sejak penghujung Disember tahun lalu.

Siapa menyangka, ketika Sabah pula semakin terdesak untuk mendapatkan peralatan pencegahan, Kerajaan China tampil menghulurkan bantuan.

Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, kerajaan tidak akan membenarkan mana-mana pertubuhan bukan kerjaaan (NGO) yang mahu menderma kepada masyarakat untuk menghantar sendiri bantuan tersebut sebaliknya perlu melalui agensi yang telah dilantik.

Katanya, langkah itu diambil bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memastikan penghantaran tersebut menepati ciri-ciri keselamatan.

Beberapa NGO telah tampil sejak semalam menyatakan rasa tidak puas hati kerana tidak dibenarkan bergerak dari satu daerah ke daerah lain untuk menghantar pelbagai sumbangan termasuk makanan.

“Kita bukan menghalang mereka kita mahu pastikan supaya mereka ini nanti jangan ada kontak, kita mahu menyelamatkan nyawa mereka saya tahu mereka mahu bagi bantuan makanan tetapi dia ada saluran dia dan kita seboleh-bolehnya mengurangkan seramai mungkin yang ada kerana kalau ktia galakkan semua badan-badan NGO kita memang ada.

“Kita maklumkan sudah ada jentera yang ada kalau boleh dimanfaatkan jentera yang ada bersekali dengan mereka untuk memastikan kita kurangkan jumlah ornag yang kita hatar kalau ramai sangat badan-badan saya tahu bebas ini untuk bergerak maka ini akan melanggar tujuan perintah.

“Sebaik-baiknya nasihat kita diterimalah kadang-kadang kita tidak mahu menghalang ini derma tetapi dalam keadaan sekarang ini wabak ini  pertama kali di dunia satu pandemik, tidak mengenal warna tidak kira siapa anda, berapa ramai sudah dktor yang meninggal dunia,” katanya.