COVID-19 beri impak kecil kepada sektor kewangan Labuan – Ketua Pengarah Labuan FSA

LABUAN: Pandemik COVID-19 memberi impak kecil kepada sektor kewangan antarabangsa Labuan berikutan segmen sewaan telah merasai kesannya pada beberapa bulan pertama 2020.

Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) Datuk Danial Mah Abdullah berkata situasi itu dilihat umpama ‘situasi sukar’ akibat ketidaktentuan landskap ekonomi global.

“COVID-19 telah menjejaskan sektor kami dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini…kami tidak pasti mengenai landskap perniagaan pada masa depan, terlalu banyak ketidakpastian…kira tidak pasti bagaimana ia akan dilaksanakan.

“Kami merupakan pengawal selia, anggota pelbagai organisasi yang merangkumi semua pengawal selia …(ada) banyak perkongsian maklumat, perkongsian pengetahuan dan sebagainya, bagaimana untuk mengendalikan keadaan ini dan apa bidang kuasa lain lakukan.

“Kami telah menganalisis persekitaran dan menghadiri mesyuarat Zoom bersama-sama semua pengawal selia ini mengenai bagaimana untuk kami menguruskan situasi ini,” katanya.

Mah berkata sebahagian daripada impak kepada industri telah dapat dilihat dalam beberapa bulan pertama tahun ini, namun, bukan dalam skala besar. Bagaimanapun, beberapa sektor akan terjejas misalnya perniagaan sewaan.

“Ia seperti situasi yang sukar kerana pada tahun lepas berlaku penyusutan ketara harga minyak yang telah menjejaskan sektor minyak dan gas di Labuan… dan keadaan itu kini bertambah buruk akibat COVID-19, yang menambahkan lagi bebanan,” katanya dalam temu bual dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) Farah Jaafar-Crossby baru-baru ini, bersempena 30 tahun Labuan IBFC menjadi pengantara di Asia.

Petikan temu bual itu diberikan kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun, Mah berkata wujud beberapa impak positif berikutan norma baharu itu sedang dibangunkan dalam sektor kewangan.

“Anda bercakap mengenai perniagaan berkaitan digital…kami telah memberi tumpuan kepada industri itu sejak beberapa tahun lepas dan menyaksikan beberapa peningkatan dalam bidang itu.

“Sudah tentu, dari segi insurans, terdapat satu elemen perniagaan kaptif. Kami melihat lebih banyak penggiat dalam spektrum ini. Namun, secara keseluruhannya, kami akan terus menganalisis rantau ini untuk melihat apa lagi yang kami boleh lakukan untuk menggerakkan Labuan IBFC pada masa depan,” katanya.

Mah berkata pihak berkuasa telah menawarkan kelonggaran kepada penggiat industri yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan misalnya pelepasan berperaturan untuk sementara.

“Ini berkenaan dengan tadbir urus. Jadi, terdapat beberapa kelonggaran kepada mereka dari segi penghantaran dokumen kepada kami dan dari segi bagaimana mereka mengira margin kemampuan bayar. Sudah tentu, bantuan ini tidak menyeluruh.

“Kami juga bekerjasama dengan pemain, (untuk melihat) apa lagi yang boleh kami lakukan untuk mereka menguruskan situasi ini. Namun, seperti yang saya katakan, apabila kami memberitahu kami menganalisis persekitaran, kami bukan sahaja melihat kepada perniagaan… sebagai pengawal selia, kami perlu melihat apakah risiko yang perlu diuruskan untuk memastikan kami kekal mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Mah berkata Labuan IBFC perlu kekal cekap dan terus memantau situasi itu selain memastikan berupaya menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pemain industri agar membolehkan mereka beroperasi tanpa  halangan.