Covid-19: Beaufort Catat Satu Lagi Kes Baharu

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan satu lagi kes Covid-19 baharu selama dua hari berturut-turut.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, dengan pertambahan satu kes baharu itu menjadikan keseluruhan kes di Sabah kini adalah sebanyak 348 kes.

Menurut statistik terbaharu itu, satu kes baharu itu dilaporkan berlaku di Beaufort dan menjadikan kes keseluruhan di daerah ini sebanyak 13.

Pada 23 April lalu, Beaufort melaporkan sebanyak 11 kes positif Covid-19 dan lapan daripada jumlah tersebut terdiri daripada kluster tabligh Seri Petaling.

Daerah Beaufort turut melaporkan satu kes baharu pada 23 Mei lalu dan kembali mencatatkan satu lagi kes baharu pada hari ini.

Selain itu, Sabah juga tidak melaporkan sebarang kes kematian termasuklah kes pulih akibat jangkitan Covid-19.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  melaporkan sifar kes kematian pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kekal sebanyak 115 kes.

Setakat hari ini, KKM melaporkan 20 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 7,877 kes, termasuk 6,470 kes yang telah pulih sepenuhnya.

Sebanyak enam kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, dua orang pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.