Covid-19: Beaufort Catat Satu Kes Baharu

Oleh ILONA ANDREW
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan satu kes baharu jangkitan Covid-19 hari ini iaitu di daerah Beaufort.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, masih terdapat 32 kes aktif di negeri ini di mana jumlah kes tertinggi dicatat di daerah Kota Kinabalu dengan 10 kes, diikuti dengan Lahad Datu dan Kinabatangan masing-masing dengan empat kes.

Katanya, tiga kes aktif masing-masing dilaporkan di Tawau, Tuaran dan Semporna, dua kes di Keningau dan satu kes di Beaufort, Penampang dan Kota Marudu.

“Jumlah kes kumulatif di Sabah kini 341 kes dan kes pulih kekal sebanyak 304,” katanya melalui akaun Facebook beliau petang ini.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 53 kes pulih dan di seluruh negara hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 5,912 kes.

Terdapat 48 kes baharu dikesan setakat pukul 12 tengah hari tadi, dan bilangan kes positif di negara ini adalah sebanyak 7,185 kes.

Jumlah kes terkini itu menunjukkan penurunan berbanding kes baharu yang direkodkan semalam.

Sehingga kini, terdapat sembilan kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam perkembangan lain, tiada kematian baharu dilaporkan setakat hari ini dan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 115.