Covid-19: AirAsia Gantung Penerbangan, Kakitangan Kanan Potong Gaji

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Berikutan pandemik wabak COVID-19 yang telah mengakibatkan sekatan perjalanan oleh beberapa negara, Kumpulan AirAsia (AirAsia) menggantung hampir keseluruhan penerbangan dalam rangkaian syarikat berkenaan.

Bagi AirAsia Malaysia, semua penerbangan domestik dan antarabangsa yang menggunakan kod penerbangan AK ditangguhkan bermula 28 Mac hingga 21 April.

Dalam satu kenyataan, AirAsia berkata, bagi AirAsia X Malaysia, penangguhan penerbangan dibuat bermula 28 Mac hingga 31 Mei bagi penerbangan jarak dekat dan sederhana.

Menurutnya, penangguhan penerbangan turut melibatkan beberapa negara rangkaian syarikat itu iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, India dan AirAsia X Thailand.

“AirAsia akan terus mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan para tetamu dan kakitangannya.

“Justeru, kami memainkan peranan dalam membantu usaha kerajaan yang mengenakan sekatan perjalanan dan Perintah Kawalan Pergerakan termasuklah perintah kuarantin di rumah untuk mencegah penyebaran virus dan menjadikan penerbangan lebih selamat untuk semua,” kata AirAsia.

Syarikat berkenaan memaklumkan akan terus memantau keadaan semasa dan bersedia untuk memulakan penerbangan secepat mungkin apabila keadaan bertambah baik dan tertakluk kepada kelulusan daripada pihak kawal selia.

Sehubungan itu, semua tetamu yang terjejas akan segera dimaklumkan melalui e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Mereka mempunyai pilihan untuk menukar tempahan penerbangan kepada akaun kredit yang boleh ditebus dalam masa 365 hari atau menukar kepada tarikh baharu tanpa had dan bayaran sebelum 31 Oktober 2020.

“Penukaran boleh dibuat melalui AVA di airasia.com atau support.airasia.com. 

Para tetamu juga dinasihatkan untuk merujuk kepada nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh AirAsia dari masa ke semasa di airasia.com dan platform media sosial,” katanya.

Menurut AirAsia, penggantungan sementara penerbangan itu adalah langkah tepat untuk memastikan kesejahteraaan para tetamu dan kakitangan yang menjadi keutamaan dalam situasi mencabar ini.

Selain itu, untuk terus menguruskan dan menampung kos perniagaan, ahli pengurusan kanan dan kakitangan senior Kumpulan AirAsia telah bersetuju untuk menerima potongan gaji antara 100 peratus dan 15 peratus.

“Langkah ini untuk memastikan kelangsungan syarikat dan mengatasi masalah kekurangan permintaan perjalanan, di samping mengurangkan kesan ke atas kakitangan kami, terutamanya yang berjawatan rendah.

“Kumpulan AirAsia akan terus komited dalam membantu pihak berkuasa kerajaan yang berkaitan dalam memberi bantuan penghantaran balik penumpang serta barangan,” jelasnya.

Tambahnya, platform e-dagang AirAsia, OURSHOP serta platform logistik dan kargo, Teleport akan terus beroperasi, di mana Teleport akan menggunakan pesawat penumpang untuk menghantar bantuan perubatan dan peralatan perlindungan khas untuk hospital dan petugas barisan hadapan kecemasan di destinasi terpilih.