COVID-19: 7,000 Sampel Ujian COVID-19 Penduduk Labuan Diambil

LABUAN: Sekurang-kurangnya 7,000 sampel ujian COVID-19 akan diambil daripada penduduk pulau ini berikutan peningkatan kes jangkitan virus berkenaan, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

Katanya langkah itu telah dimulakan sejak minggu lepas, dengan keutamaan diberikan kepada penduduk yang dikategorikan sebagai kontak rapat kepada mereka yang positif, potensi pesakit COVID-19, atau tinggal di kawasan berisiko tinggi.

Beliau berkata berikutan peningkatan aktiviti pengambilan sampel dalam kalangan penduduk yang dijalankan dalam tempoh dua minggu ini, laporan peningkatan kes dijangka terus berlaku. 

“Kami memulakan pemeriksaan bersasar di kawasan kluster baru muncul, Saguking dengan mengambil lebih 500 sampel semalam, sebagai tambahan kepada lebih daripada 100 sampel yang diambil sebelum ini,” kata Dr Ismuni kepada Bernama.

Labuan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 17 hingga 30 Okt ini bersama dengan Wilayah Persekutuan dan Putrajaya (sejak 14 Okt) berikutan peningkatan kes setiap hari sejak minggu lepas sehingga jumlahnya mencecah 120 kes semalam.

Pulau bebas cukai itu mempunyai empat kluster aktif – Saguking dengan sembilan kes, Bah Bangat 11 kes, Bah Bundle 19 kes dan Bah Layangan dengan 13 kes.