Covid-19: 410 Kes Baharu, Dua Kematian Di Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Selepas hampir setiap hari melaporkan kes kematian yang tinggi, hari ini Sabah melaporkan dua kes kematian akibat jangkitan Covid-19.

Kedua-dua kes kematian itu dilaporkan di Hospital Tawau melibatkan mangsa lelaki berusia 82 tahun yang mempunyai penyakit paru-paru obstruktif kronik, buah pinggang kronik dan aritmia jantung. Seorang lagi mangsa adalah perempuan berusia 53 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan tambahan kematian terbaru itu menjadikan kes kematian yang dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 238 kes.

Untuk hari ini, Sabah mencatatkan 410 kes positif baharu, daripada keseluruhan 835 kes positif baharu Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia.

Dua kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu kluster Lintas, Kota Kinabalu dengan enam kes dan kluster Limbungan dengan 20 kes positif.

Sementara, 76 kes baharu dilaporkan di Wilayah Persekutuan Labuan termasuk dua kes import.

Tambahan kes baharu itu menjadikan bilangan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 28,640 kes. Sebanyak 9,903 kes aktif dengan 89 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 32 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Manakala, kes pulih yang dilaporkan hari ini adalah 674 kes, dengan bilangan kumulatif sebanyak 18,499 kes.