Covid-19: 1,934 Kes Sembuh, Jumlah Tertinggi Direkodkan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan bilangan kes sembuh Covid-19 tertinggi hari ini dengan 1,934 kes berbanding 293 kes positif baharu.

Sebanyak satu lagi kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu kluster D’Bajaru, Lahad Datu dengan 90 kes positif setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua daripada empat kematian dilaporkan hari ini adalah di Sabah, sementara satu kematian di Labuan dan Pulau Pinang.

Kematian hari ini melibatkan pesakit berusia 54 dan 68 tahun dan kedua-duanya mempunyai sejarah penyakit kronik.

Dengan itu, kes kematian yang dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 345 kes, sementara kes kematian di Sabah menjadi 199 kes.

Secara keseluruhan lima kluster baharu dilaporkan termasuk satu kluster di Sabah. Kluster lain adalah kluster Gangsa, Selangor dengan 30 kes aktif positif; kluster Kerengge, Terengganu dengan enam kes; kluster Batu Tujuh, Johor dengan 13 kes dan kluster Tanjung Bunga, Johor dengan 11 kes.

Hari ini, daripada 970 kes positif baharu dilaporkan di seluruh negara, 965 kes adalah jangkitan tempatan manakala, lima kes import.

Sementara, 37 kes baharu dilaporkan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Bilangan kes sembuh yang dilaporkan hari ini adalah sebanyak 2,348 kes, dengan bilangan kumulatif kes adalah sebanyak 46,501 kes.

Tambahan kes baharu hari ini menjadikan bilangan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 59,817 kes. Sebanyak 12,971 kes aktif dengan 110 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 47 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.