COVID-19, 19 Kes Dari 3 Kluster Institusi Pendidikan Di Sabah

KOTA KINABALU: Lima kluster aktif termasuk tiga kluster institusi pendidikan
menyumbang kepada 24 kes positif baharu COVID-19 di Sabah hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata Kluster Jalan Bypass Kologon, Ranau yang dikategorikan kluster institusi pendidikan menjadi penyumbang terbanyak kes positif baharu COVID-19 dengan 10 kes.

Ini diikuti 5 kes daripada Kluster Jalan Pertukangan Sandakan.

Satu lagi kluster institusi pendidikan iaitu Kluster Puri di Ranau, merekodkan 4 kes positif baharu hari ini.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah berkata
jumlah kes jangkitan melibatkan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang belum layak menerima vaksin agak tinggi hari ini, iaitu 32 orang atau 18.6 peratus daripada jumlah kes harian di Sabah.

“Sekali lagi, saya menggesa semua ibu bapa dan pengurusan sekolah untuk mengambil langkah-langkah bagi mempertingkatkan keselamatan anak daripada jangkitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, jumlah kes harian di Sabah adalah stabil dengan hanya 7 daerah yang mencatatkan kes baharu dua angka berbanding 9 daerah semalam.

“Kota Kinabalu mencatat jumlah tertinggi sebanyak 31 kes hari ini. Papar dan Ranau merekodkan 21 kes manakala Beaufort mencatatkan 19 kes.”

Sabah mencatatkan 172 kes positif baharu COVID-19 hari ini, penurunan 46 kes berbanding 218 kes semalam.

Masidi berkata 168 daripada 172 kes hari ini adalah dalam kategori 1 dan 2, iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

Masing-masing 1 kes dalam kategori 3 dan kategori 4 serta dua kes dalam kategori 5.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin meminta semua Pejabat Pendidikan Daerah serta Jabatan Pendidikan Negeri di seluruh negara untuk menyerahkan laporan perkembangan semasa jangkitan Covid-19 membabitkan sekolah kepada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Ia berikutan peningkatan jumlah kluster Covid-19 membabitkan institusi pendidikan terutamanya di asrama sekolah.

Katanya, pihaknya akan mengkaji pendekatan terbaik mengatasi masalah terbabit sekiranya berlaku peningkatan kes COVID-19 membabitkan sekolah.

Lima kluster institusi pendidikan dilaporkan di Sabah dalam tempoh seminggu.

16 Januari lalu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan mencetuskan kluster institusi pendidikan baharu dikenali Kluster Jalan Kepayan Lama di mana lebih 30 pelajar disahkan positif Covid-19.

Manakala pada 18 Januari lalu, SMK Ranau mencetuskan kluster baharu, Kluster Puri Ranau yang merekodkan 7 kes positif di kalangan pelajar sekolah berkenaan.

Pada 19 Januari lalu, Kluster Jalan Pertukangan merekodkan 73 kes positif di kalangan pelajar SMK Sandakan.

Kluster Pandan Pandan, Putatan merekodkan 16 kes positif di kalangan guru dan pelajar Madrasah Darul Hadis, Kampung Pandan Pandan, di Putatan, 20 Januari lalu,

Manakala semalam, Kluster Jalan Bypass Kologon, Ranau mencatatkan 7 kes positif di kalangan pelajar SMK Kundasang.