Covid-19: 187 Kes Baharu, Kebanyakkannya Warga Asing

PUTRAJAYA: Sebanyak 187 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di Malaysia hari ini dengan 173 daripadanya warga asing  yang dikesan di depot tahanan imigresen.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, 10 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tujuh rakyat tempatan dan tiga pemastautin tetap atau pasangan kepada rakyat tempatan manakala 177 kes adalah penularan tempatan.

“Daripada 177 kes penularan tempatan, 173 kes adalah warga asing di mana 155 kes dikesan di depot tahanan imigresen Bukit Jalil dan 13 kes daripada kluster pengawal keselamatan Cheras.

“Kes penularan tempatan di kalangan warganegara Malaysia adalah empat kes sahaja,” katanya pada sidang akhbar harian mengenai perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Jelasnya, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 7,604 kes, dengan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 1,448 kes.

Mengulas lanjut, beliau berkata, golongan tersebut telah pun diasingkan dan diberi rawatan.

“Sehingga kini, seramai lapan kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

“Daripada jumlah tersebut, lima kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Tambahnya, tiada kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, justeru jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 di Malaysia kekal 115 atau 1.51 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes.

Menurutnya, terdapat 62 kes pulih hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang pulih sepenuhnya daripada wabak itu dan discaj dari wad ialah 6,041 kes atau 79.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.