Covid-19: 172 Kes Baharu Hari ini

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan peningkatan mendadak sebanyak 172 kes baharu bagi jangkitan Covid-19 hari ini dan kebanyakannya terdiri daripada individu yang ditahan di tiga depot tahanan imigresen.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, 112 kes membabitkan tiga depot berkenaan.

Katanya, orang ramai tidak perlu bimbang dengan peningkatan kes berkenaan kerana depot terbabit ialah tempat yang diasingkan daripada masyarakat dan sudah dikawal oleh pihak berkuasa.

Walau bagaimanapun, jumlah kes tersebut merupakan jumlah tertinggi khususnya bagi bulan Mei ini di mana Malaysia hanya mencatatkan jumlah kes Covid-19 di bawah 100.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sehingga pukul 12 tengah hari tadi, terdapat sebanyak 32 kes sudah pulih sepenuhnya menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 5,979 kes dan tiada kematian dilaporkan hari ini.