COVID-19: 15 Kes Baharu Termasuk Satu Di Keningau, Keseluruhan 197 Kes Di Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pertambahan 15 kes baharu Covid-19 di Sabah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah sebanyak 197 kes.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sabah meningkat kepada 197 kes berbanding hanya 182 kes, semalam.

Daripada jumlah itu, sembilan kes telah pulih sepenuhnya iaitu enam di Lahad Datu dan Tiga di Sandakan.

Katanya, setakat ini 16 daripada 25 daerah di Sabah merekodkan kes positif Covid-19 termasuk satu daerah baharu, iaitu Keningau dengan kes pertama hari ini.

Setakat ini, lima daerah sahaja menunjukkan pertambahan kes baharu iaitu masing-masing empat kes di Tawau dan Sandakan, tiga kes di Kota Kinabalu dan Kinabatangan serta satu kes di Keningau.

Dengan pertambahan empat kes baharu hari ini, menjadikan Tawau kekal berada sebagai daerah yang mencatatkan kes tertinggi di Sabah dengan 57 kes.

Manakala, Lahad Datu kekal 34 kes; Kota Kinabalu 29 kes; Sandakan 15 kes; Kinabatangan 14 kes; diikuti dengan Tuaran 12 kes; tujuh kes di Beaufort dan Kunak; serta enam kes di Putatan.

Manakala, lima kes di Kota Belud; empat kes di Sipitang; dua kes masing-masing di Papar dan Ranau; serta satu kes di Semporna dan Penampang.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 27 kematian di seluruh Malaysia termasuk satu kes kematian hari ini.

Untuk hari ini, KKM melaporkan 159 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 2,320 kes termasuk 320 kes yang telah pulih sepenuhnya.

Sebanyak 73 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 54 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.