COVID-19 : 1,176 Kes, 64.54% Jangkitan Sporadik

KOTA KINABALU: Statistik kes jangkitan baharu Covid-19 di beberapa daerah khususnya di Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran banyak mempengaruhi jumlah kes harian di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata jumlah kes baharu di Sabah hari ini tidak banyak berubah berbanding semalam.

Katanya, Sabah mencatatkan 1,176 kes jangkitan baharu, peningkatan marginal sebanyak 22 kes berbanding 1,154 semalam, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 358,222 kes.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah berkata 5 kes kematian dilaporkan hari ini iaitu 2 di Keningau dan masing-masing 1 kes di Kota Kinabalu, Ranau, serta Beaufort.

Tiada kluster baharu dilaporkan hari ini.

Katanya, hanya 12 daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini.

“Perubahan jumlah kes harian berbanding sebelumnya adalah pada julat yang kecil kecuali di Kota Kinabalu (meningkat 91 kes ) dan Penampang (pertambahan 74 kes) yang mencatatkan peningkatan yang agak signifikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Manakala Beaufort (berkurangan 58 kes) dan Sandakan (turun 47 kes) pula merekodkan penurunan yang agak signifikan.

Menurut Masidi, 64.54 peratus daripada 1,176 kes hari ini adalah kes jangkitan sporadik yang menjadi penyumbang utama kes positif baharu di 24 daripada 27 daerah di Sabah.

Menurut beliau, 3 daerah mencatatkan kes tiga angka hari ini iaitu Kota Kinabalu dengan 356 kes, Penampang sebanyak 139 kes dan Papar yang melaporkan 105 kes.

Sebanyak 18 daerah lagi mencatatkan kes dua angka manakala 6 daerah iaitu Kinabatangan, Nabawan, Kunak, Tongod, Semporna dan Kalabakan, mencatatkan kes satu angka.

Masidi berkata 1 kluster institusi pendidikan diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Jalan Terusan, yang melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terusan, Lahad Datu.

Ketika ini, 29 kluster masih aktif di seluruh Sabah.

Menurutnya 1,154 atau 98.13% daripada 1,176 kes-kes baharu hari ini adalah dalam kategori 1 dan 2, iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

9 kes dalam kategori 3 (jangkitan atau
radang paru-paru tetapi tidak memerlukan bantuan oksigen), 10 kes dalam kategori 4 (jangkitan atau radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen), manakala 3 kes dalam kategori 5 (pesakit kritikal dan memerlukan bantuan alat pernafasan).