COVID: 16,117 Kes Baharu Dilaporkan Hari Ini

KUALA LUMPUR: Sejumlah 16,117 kes baharu COVID-19 dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian di laman rasmi Facebook memaklumkan berikutan itu jumlah kumulatif kes COVID-19 negara kini meningkat kepada 1,044,071.

Selangor mencatatkan kes baharu tertinggi dengan 6,616 kes diikuti Kuala Lumpur (2,457), Kedah (1,000), Johor (907) dan Sabah (741).

Melaka pula merekodkan 674 kes, Negeri Sembilan (669), Pulau Pinang (618), Kelantan (592), Perak (583), Sarawak (405), Pahang (403),  Terengganu (317), Putrajaya (122), Labuan (11) manakala Perlis dua kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menerusi kenyataannya memaklumkan seramai 1,023 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 524 kes memerlukan bantuan alat pernafasan. 

Menurutnya 11,526 kes sembuh wabak itu dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini ialah 865,439 kes.

Dr Noor Hisham berkata 42 kluster baharu dikesan semalam dengan 25 daripadanya berkaitan dengan tempat kerja, 12 kluster komuniti, masing-masing dua kluster kumpulan berisiko tinggi dan pusat tahanan serta satu kluster pendidikan lain.

Beliau turut berkongsi nilai kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia semalam adalah 1.14 dengan Terengganu mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.29, diikuti Kedah dan Johor (1.26), serta Sabah (1.23).

Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Wilayah Persekutuan Labuan dan Perlis.