COVID: 14,454 Angka Sembuh Hari Ini, Atasi Kes Baharu – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR: Kes sembuh COVID-19 hari ini merekodkan sejumlah 14,454 kes, jauh melebihi kes baharu yang mencatat 9,066, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu yang dilapor itu, 8,907 kes (98.2 peratus) terdiri daripada kategori 1 dan 2 manakala baki 1.8 peratus atau 159 kes merupakan kategori 3, 4 dan 5.

“Sebanyak 815 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 355 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan perkembangan situasi COVID-19 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata enam lagi kluster dikesan hari ini menjadikan sejumlah 1,008 kluster yang masih aktif di negara ini, yang melibatkan tiga kluster tempat kerja dan tiga kluster komuniti.

Data kematian dan data-data lain bagi situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik menerusi laman GitHub dan laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my.

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkongsi angka melegakan apabila kes baharu COVID-19 hari ini merekodkan penurunan di bawah 10,000 iaitu sebanyak 9,066 kes.

Kali terakhir negara mencatat kes baharu di bawah angka 10,000 ialah pada 12 Julai, iaitu berjumlah 8,574 kes.