CNY Fest Mudahkan Pelanggan Beli Persiapan Tahun Baharu Cina

KOTA KINABALU: Chinese New Year Fest yang akan dianjurkan pada 28 hingga 30 Januari ini diharap memudahkan pelanggan mendapatkan pelbagai jenis barangan keperluan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Acara yang dianjurkan oleh KK Legasi dengan kerjasama Sabah Foldie Owners akan diadakan di ITCC Penampang.

Acara tersebut akan menggabungkan vendor tempatan dari seluruh Sabah menawarkan pelbagai produk bukan sahaja sebagai persiapan Tahun Baharu Cina tetapi juga sebagai inisiatif membantu menggalakkan jualan peniaga yang terjejas teruk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan untuk mengelak penularan jangkitan Covid-19.

Jurucakap KK Legasi, Irwan Iswandy berkata, selepas kejayaan penganjuran KK Christmas Fest pada bulan lepas, penganjur acara tersebut menerima permintaan yang tinggi untuk meneruskan aktiviti sempena Tahun Baharu Cina.

“Sambutan Tahun Baharu Cina adalah sambutan bermakna bagi semua lapisan mesyarakat di Sabah kerana kita lahir dari masyarakat majmuk.

“Tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan, kita menyambutnya bersama demi semangat toleransi dan perpaduan.

“Bagi vendor pula, inilah masa untuk mereka menambah pendapatan, terutamanya ketika mereka terkesan semasa pandemik,” katanya.

Acara yang berlangsung selama tiga hari ini akan disertai sebanyak 60 vendor yang menawarkan pelbagai produk kepada pengunjung yang akan dihiburkan oleh Masmona Buskers.

Bagi menyempurnakan acara, tarian singa juga akan dipersembahkan pada hari Sabtu (29 Januari) manakala, pertunjukan basikal lipat akan berlangsung pada keesokan harinya.

Penganjur bersama, Sabah Foldie Owners juga akan meningkatkan kesedaran berkenaan berbasikal dengan sihat dan selamat.

Jurucakapnya, Ihsanuddin Mohd Yusup berkata kumpulan basikal lipat tersebut akan menyediakan cabutan bertuah bernilai RM5,000 termasuk satu basikal lipat kepada peserta pertunjukan.

“Syarat untuk mengikuti cabutan bertuah ini adalah wajib membawa basikal lipat ke tapak acara dan membuat pendaftaran di meja pendaftaran selepas Fun Ride pagi. Seorang peserta hanya layak untuk satu tiket cabutan sahaja,” katanya.

Penganjur juga mengingatkan pengunjung untuk mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan oleh ITCC Mall Penampang.