CIQ Tawau Dikawal Syarikat Konsesi, Kenakan Bayaran Melampau

4236

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Tawau yang merupakan gerbang negeri melalui jalan laut dari Indonesia didakwa kini ‘dikawal’ oleh sebuah syarikat konsesi yang mengenakan pelbagai bayaran melampau ke atas setiap individu yang menggunakan pintu masuk berkenaan.

Menurut sumber, pihak konsesi mengaut keuntungan ke atas setiap pelancong atau rakyat Indonesia dari Tarakan dan Nunukan dengan mengambil bayaran kepala dan bagi setiap kilogram barang yang dibawa melalui CIQ berkenaan.

Berdasarkan aduan yang diterima, setiap individu atau pelancong sama ada yang baru sampai atau keluar dari Tawau melalui CIQ itu dikenakan caj kepala RM15 yang tidak pernah berlaku di mana-mana CIQ dalam negara.

Selain itu, kata sumber itu, biasanya setiap barangan yang dibawa masuk atau keluar dari mana-mana CIQ akan melalui pemeriksaan keselamatan Kastam sahaja, namun di situ pihak konsesi turut mengenakan caj RM1.30 bagi setiap kilogram.

“Caj ini melampau dan tidak logik. Sepatutnya kalau pelancong datang dari Nunukan atau Tarakan mereka sudah membayar cukai di sana seperti menaiki kapal terbang, kita bayar di lapangan terbang tempat berangkat bukannya selepas mendarat, tetapi di CIQ ini berlainan.

SARIFUDDIN HATA

“Sama juga kalau bawa barang masuk atau keluar semuanya dikenakan bayaran RM1.30 sekilogram dan hasilnya semua dikaut oleh syarikat konsesi yang menguruskan CIQ itu,” katanya kepada Borneo Today hari ini.

Sumber tersebut berkata, walaupun beberapa agensi penguatkuasa seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditempatkan di situ, namun kakitangan syarikat konsesi itu yang dilantik oleh kerajaan terdahulu yang paling berkuasa membuat keputusan.

“Paling jelas apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini telah menetapkan dua buah feri khas untuk menghantar pulang rakyat Indonesia yang tidak memiliki dokumen di Sabah tetapi kedua-dua feri itu tidak digunakan.

“Sebaliknya pihak konsesi menggunakan feri lain untuk tujuan itu demi mengaut keuntungan tanpa memikirkan tentang soal keselamatan setiap penumpang tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata ketika dihubungi berkata, aduan tentang masalah di CIQ itu telah diterima dan perlu diatasi segera.

“Saya juga menerima pelbagai aduan seperti itu kerana pelancong atau individu yang melalui CIQ berkenaan dipaksa membayar caj yang tidak sepatutnya.

“Pelancong-pelancong juga ada meluahkan kekesalan tentang bayaran yang dikenakan menyebabkan imej Tawau terjejas,” jelas beliau.

Sarifuddin yang juga Pembantu Menteri Kewangan negeri berkata, tahun 2019 telah diisytihar sebagai Tahun Melawat Tawau, namun sektor pelancong di situ akan terjejas disebabkan segala keburukan yang berlaku di CIQ.

“Sebagai barisan depan yang bertugas di pintu masuk, kakitangan awam di situ sepatutnya memberikan contoh yang baik tetapi disebabkan tindakan konsesi itu banyak aduan diterima,” tambah beliau.