Christina Sambut Baik Usaha Wujudkan Taman Safari Di Sabah

166
Christina (empat kanan) bersama delegasi dari Sabah dan Konsul Jeneral Republik Indonesia Cahyono Rustam serta beberapa pegawai lain mengabdikan gambar kenangan di Taman Nasional Gunung Gede Pangrango, Jawa Barat.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
BOGOR: Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew menyokong usaha Kerajaan Sabah untuk mewujudkan taman safari (dikenali taman hidupan liar) bagi meneruskan usaha melindungi hidupan liar serta sebagai produk pelancongan.

“Saya menyokong cadangan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal. Kita boleh menjaga kebajikan hidupan liar, terutama spesis yang semakin pupus di dalam kawasan taman safari. Ia juga membolehkan pelancong melihat haiwan-haiwan ini di habitat semula haiwan terbabit,” katanya selepas melawat Taman Safari Bogor, di sini baru-baru ini.

Christina, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata demikian berikutan kenyataan Ketua Menteri mengenai usaha Kerajaan Sabah dalam mengenalpasti kawasan bersesuaian untuk melaksana program pembiakan habitat hidupan liar, terutama spesis hidupan liar terancam. Tapak itu juga berpotensi untuk menjadi tarikan pelancongan.

Pada Ahad, Ketua Menteri memaklumkan pemberita bahawa usaha menyediakan kawasan pembiakan hidupan liar itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk melindungi dan memastikan kelangsungan hidupan liar di Sabah, yang juga menjadi ‘khazanah’ negeri ini.

Mengenai lawatan ke Taman Safari Bogor itu, Christina berkata, kehadiran pengunjung ke situ mencecah 5,000 hingga 12,000 orang bergantung kepada musim cuti perayaan di Indonesia, serta negara lain seperti Asia Timur, Eropah dan Malaysia.

Jika dilihat pelancong domestik menyumbang 80 peratus daripada jumlah pengunjung ke taman berkenaan dan hanya 20 peratus sahaja disumbangkan oleh pelancong asing.

Turut hadir dalam lawatan ke Indonesia itu adalah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar William Baya, Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Noredah Othman, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga, Pengurus Pemasaran STB (Indonesia) Bobby Alex.