Christina Galak Industri Perhotelan Bekerjasama Dengan Chef Antarabangsa

Christina (dua kanan) dan Hafizan (kiri) melihat hasil ‘sweet table demonstration’ oleh Chef Fazley (dua kiri), turut kelihatan Pengarah Kumpulan Pemasaran & Jualan Hotel Promenade Kota Kinabalu Anita Chung (kanan)

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Penampilan sulung Selebriti Chef Dato Fazley Yaakob di Promenade Hotel dalam mempromosikan menu Ramadan dilihat akan membantu memeriahkan lagi kehadiran pengunjung ke hotel terkemuka itu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, demonstrasi daripada chef yang memenangi anugerah restoran keluarga di Paris itu sudah pasti akan menggalakkan lebih ramai orang berkunjung ke Promenande Hotel sempena Ramadan.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar ini berkata, sambutan Ramadan dan Hari Raya yang diraikan masyarakat pelbagai kaum perlu terus dipromosikan dalam menggalakkan perpaduan kaum di negeri ini.

Kejayaan hotel ini bekerjasama dengan selebriti chef yang menempah nama di arena masakan antarabangsa ini harus dijadikan contoh oleh entiti lain agar turut bekerjasama dengan chef antarabangsa dalam mempromosikan masakan mereka di Sabah dan begitu juga sebaliknya.

Menerusi promosi ‘From Rembau to KK’, pelbagai hidangan masakan Negeri Sembilan akan dipromosikan sepanjang Ramadan di Promenade Cafe termasuk rendang daging minang dan daging salai lemak cili api dengan mangga muda.

Dalam majlis itu, Chef Fazley turut memperlihatkan bakat menyediakan hidangan pencucui mulut melalui ‘sweet table demonstration’ dihadapan Christina dan Pengurus Besar Hotel Promenade Kota Kinabalu Hafizan Wong.