‘Christina Gagal Desak Pemimpin PH, Tuduh Saya Reka Cerita?’ – Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal membidas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Christina Liew yang mendakwanya reka cerita berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah.

“Saya tidak bercakap bohong. Memang saya telah minta mereka teruskan perjuangan untuk menuntut hak Sabah. Saya tidak pernah katakan dia (Christina) hentikan saya perjuangkan hak-hak Sabah, bukan.

“Saya telah galakkan mereka sebagai orang tempatan yang menjadi pemimpin parti nasional supaya minta ketua mereka penuhi tuntutan hak Sabah.

“Mendiang Datuk Steven Wong telah meminta Lim Guan Eng untuk berikan tuntutan 20 peratus royalti minyak tapi, Guan Eng tidak tunaikan.

“Begitu juga dengan Christina, saya minta tolong beritahu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Wan Azizah supaya tunaikan janji yang telah dibuat,” katanya selepas tinjuan mesra di Foh Sang hari ini.

Mohd Shafie berkata, apa yang beliau minta adalah desak ketua-ketua parti mereka di Semenanjung untuk tunaikan janji yang mereka telah buat kepada Sabah.

Bukan saya minta mereka hentikan tuntutan hak Sabah, tidak. Jadi, Christina tidak seharusnya keliru dengan kenyataan yang telah beliau buat sebelum ini.

Hari ini, Christina Liew mendakwa Mohd Shafie reka-reka cerita mengenai tuntutan 40 peratus hasil Sabah daripada kerajaan Persekutuan.