Christina Akui Kesal Syorkan Jaffari Sebagai ADUN Dan Tindakan Kenny Melompat

Oleh SURAYA SHANAZ
KOTA KINABALU: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Christina Liew mengakui kesal dengan tindakannya mengesyorkan Jaffari William untuk dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik.

Katanya, tindakan ADUN Inanam yang turut meninggalkan Kerajaan Sabah dan berpaling tadah menyokong Tan Sri Musa Aman juga amat dikesali, namun tidak akan menjejaskan PKR Sabah.

“Dalam masa sama, saya juga mengakui membuat kesilapan dalam mengesyorkan Jaffari William untuk parti itu, saya juga berasa kecewa dengan Kenny dan ini adalah perkara yang serius tetapi dia tidak berunding dengan kami.

“Bagaimanapun, tindakan yang diambil oleh Kenny tidak akan menjejaskan parti ini,” katanya.

Selain Kenny, Jaffari yang juga bekas ketua PKR Libaran, keluar daripada PKR atas alasan hilang kepercayaan terhadap presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 28 Februari lalu.

Christina juga berkata, tindakan ketua menteri membubarkan DUN seterusnya untuk mengadakan PRN adalah keputusan terbaik dibuatnya.

“Biarlah rakyat yang akan membuat pilihan siapa yang mereka mahu menjadi ketua menteri dan mentadbir negeri ini. Bayangkan jika mandat ini tidak diberikan kepada rakyat untuk membuat keputusan (memilih kerajaan)…mulai sekarang semua akan diputuskan oleh rakyat, kita hanya menunggu.

“PRN kali ini mencabar tetapi saya

yakin rakyat bersama kita. Tetapi bagi PKR apa yang penting kiya akan terus bekerjasama dengan WARISAN dan UPKO sebagai satu pasukan,” katanya.

Mengenai rundingan kerusi termasuk 13 kerusi DUN baru untuk Sabah, beliau menyatakan ia akan dibincangkan dalam parti sebelum perbincangan lanjut dengan komponen PH iaitu DAP dan AMANAH.

“PH Sabah juga akan membuat keputusan mengenai pembahagian kerusi DUN sebelum menyerahkan senarai itu kepada ketua menteri,” katanya sambil menambah masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada PKR Sabah akan bertanding di kerusi baru.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, PKR Sabah memenangi dua daripada lapan kerusi DUN yang ditandinginya.