China Kuasai Tenis Kerusi Roda UNIQLO ITF Terbuka Labuan

324

LABUAN: Skuad China beraksi cemerlang apabila menguasai Jelajah Tenis Kerusi Roda UNIQLO Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) 2019 Terbuka Labuan kali kedua, setelah meraih tiga kategori, semalam.

Pada kejohanan berlangsung dari 10 hingga 12 Mac yang berjaya menarik penyertaan 50 pemain tenis kerusi roda terbaik dunia itu, pasukan China menjuarai acara perseorangan lelaki serta perseorangan dan beregu wanita.

Acara perseorangan lelaki dimenangi pemain China, Chao Du, dan rakan senegaranya Shun Jiang Dong muncul naib juara, manakala Zhenzhen Zhu merangkul gelaran perseorangan wanita dan seorang lagi pemain China, Jhui Min Huang menduduki tempat kedua.

Pasangan dari China, Hui Min Huang-Zhenzhen pula menjuarai kategori beregu wanita, setelah menewaskan gandingan campuran, Ziying Wang dari China dan pemain Thailand, Wanitha Inthanin pada perlawanan akhir.

Dalam pada itu, gandingan Sri Lanka, DSR Dharmasena-RALS Ranaweera mempertahankan gelaran beregu lelaki apabila menumpaskan pasangan Malaysia, Abu Samah Borhan dan Mohd Yusshazwan.

Kejohanan berkenaan disertai atlet dari Malaysia, China, Iraq, Thailand, Sri Lanka, Indonesia dan Australia.

Presiden Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia (WTM) Iqbal Sulaiman berkata kejohanan kali ini berjalan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan atlet dari tujuh negara berbanding lima negara tahun lepas.

“Labuan akan sekali lagi menjadi tuan rumah kejohanan itu tahun depan, dan kita berharap dapat menyediakan hadiah lebih menarik kepada pemenang. Kita akan berusaha menarik lebih banyak penyertaan daripada beberapa negara,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang di sini, malam tadi.

Iqbal berkata Jelajah Tenis Kerusi Roda Borneo akan berlangsung dari Jun hingga Julai tahun depan di Labuan, dalam persiapan menghadapi Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo.

Pada majlis itu yang turut dihadiri Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata kemudahan sukan tenis itu akan ditingkatkan melalui peruntukan daripada Kementerian Wilayah Persekutuan, Perbadanan Labuan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) serta Jabatan Belia dan Sukan Labuan.

“Kejohanan ini disenaraikan dalam kalendar tahunan Labuan dalam usaha kami meningkatkan jumlah kedatangan pelancongan ke sini,” katanya.