Cermin Kenderaan Retak, Bumbung Premis Kedai Runtuh

KOTA KINABALU: Sebuah kereta mengalami kerosakan apabila bumbung bangunan kedai runtuh di Taman LandBreeze , Luyang hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu, bumbung bangunan yang menempatkan lapan premis kedai itu tiba-tiba runtuh.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asistem Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu dari Balai Polis Luyang, pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bergegas ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan.

Apabila tiba di lokasi pada jam 9.40 pagi, didapati bumbung lot sebuah kedai runtuh disebabkan struktur yang tidak kukuh.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan hanya sebuah kenderaan Isuzu Dmax terjejas dan mengalami keretakan di bahagian cermin hadapan akibat serpihan batu konkrit yang terjatuh.

“Usaha mencari pemilik kenderaan telah dlakukan tetapi tidak dijumpai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihak bomba menasihatkan penghuni di bangunan tersebut supaya lebih berhati-hati.