CEO PATA: Jangan Bergantung Kepada Satu Sumber Pasaran Pelancongan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA), Dr Mario Hardy menyarankan setiap negara di Asia agar mempelbagaikan sumber pemasaran dan tidak bergantung kepada satu pasaran sahaja.

Beliau berkata, kebergantungan kebanyakan negara di Asia terhadap pasaran China mengakibatkan mereka menerima impak yang besar apabila berlaku wabak penyakit di negara itu.

Katanya, masalah ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga di Thailand dan Singapura.

”Negara-negara ini terlalu memfokuskan kepada kemasukan pelancong dari China. Biarpun rakyat China berada di tangga pertama sebagai negara yang banyak keluar melancong namun, keseimbangan pemasaran perlu dilakukan.

”Pasaran pelancongan tidak boleh bergantung kepada satu sumber pasaran sahaja tidak kira jika ia pasaran China, Rusia mahupun Eropah. Semua negara perlu menyeimbangkan pasaran pelancongan mereka,” katanya apabila mengulas mengenai impak koronavirus (Covid-19) terhadap industri pelancongan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Persidangan & Pameran Kembara Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) 2020, di sini hari ini.

Menurutnya, keadaan yang berlaku sekarang memberi pengajaran kepada industri agar mempelbagaikan sumber pasaran pelancongan masing-masing.

Mengulas mengenai sumbangan PATA dalam membantu menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY 2020), Mario berkata, impak ekonomi melalui persidangan dan pameran kembara ini akan diketahui setelah program ini selesai.

Katanya, mereka akan mengadakan penilaian melalui rakan kerjasama mereka bagi melihat bagaimana hasil jualan sepanjang penganjuran pameran PATA diadakan.

Jelasnya, jika dilihat dalam penganjuran sebelum ini di Langkawi, jualan yang diperolehi melalui PATA amat baik.

“Apabila program ini selesai, baru kami akan mengetahui jumlah sebenar yang disumbangkan. Kami akan maklumkan mengenai perkara ini kepada Tourism Malaysia dan Lembaga Pelancongan Sabah (STB),” ujarnya.

Mengenai tempoh pemulihan diperlukan industri pelancongan selepas berlakunya wabak penyakit, Mario berkata, ketika dunia berdepan dengan sindrom pernafasan akut teruk (SARS), purata masa diperlukan sekurang-kurangnya enam bulan.

Katanya, industri pelancongan memerlukan enam bulan untuk pulih seperti sedia kala setelah wabak penyakit berakhir.

Menurut beliau, atas sebab itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) perlu memberikan petanda kepada penggiat industri pelancongan semasa bilangan kes sudah mula menurun.

“Apabila kes sudah menurun, setiap pengusaha sudah mempunyai idea berapa lama diperlukan untuk pulih. Berkemungkinan enam bulan, mungkin tempohnya kurang daripada itu dan mungkin lebih panjang.

“Jika dilihat daripada segi statistik, selepas pulih daripada wabak, industri boleh berkembang dengan lebih pantas.

“Atas sebab itu, kita perlu bekerjasama erat selepas insiden seperti wabak penyakit ini berakhir demi memastikan peningkatan yang berterusan dapat dicapai,” ujarnya.