Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri itu disifatkan mengeluarkan kenyataan tidak berasas dan cuba menafikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah punca kepada ketidakstabilan politik di negeri ini.
Jo-Anna berkata, tindakan pemimpin GRS melompat keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menggugat kestabilan politik di Sabah.
“Jika GRS benar-benar sebuah kerajaan yang bertanggungjawab maka, mereka harus menunjukkan contoh yang baik dengan mengekalkan pendirian dan prinsip mereka. Berhentilah jadi lidah bercabang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, biarpun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah berakhir hampir sebulan namun, GRS seperti masih bergelut dengan keputusan pilihan raya tersebut.
Keadaan itu menunjukkan GRS telah melahirkan pemimpin yang tidak berpegang teguh kepada pendirian dan sentiasa bertukar kedudukan mengikut keadaan politik semasa demi kepentingan sendiri.
Sebelum PRU-15, kumpulan yang diketuai Datuk Seri Hajiji Noor berada dalam Bersatu dan telah mengisytiharkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri mereka. Kenyataan itu dikeluarkan hanya beberapa hari sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan sebagai Perdana Menteri ke-10.
Namun, pada 10 Disember lalu, pemimpin Bersatu yang berada dalam GRS telah keluar meninggalkan parti tersebut. Situasi itu menimbulkan kontroversi yang mempersoalkan kedudukan empat ahli Parlimen tersebut untuk kekal di kerusi dimenangi.
Malah, GRS juga telah buat pusingan-U dengan menyatakan akan memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan kerana terdesak untuk menyelamatkan diri supaya tidak menjadi pembangkang.