Cawangan Risik BN10 Sibu Rampas Rokok Dan Arak Seludup Nilai RM67K

Gambar hiasan sahaja
Gambar hiasan sahaja

SIBU – Cawangan Risikan Batalion 10 (BN10) Pasukan Gerakan Am Sibu merampas sejumlah arak dan rokok dipercayai diseludup yang dianggarkan bernilai RM67,000 di Lubok Antu pagi semalam (Selasa).

Rampasan tersebut yang dibuat di sebuah kedai runcit di pekan Lubok Antu pada 11.15 pagi itu adalah hasil risikan selama tiga minggu sepasukan anggota cawangan tersebut yang diketuai Inspektor Mohd Hafizhazman Hassan.

“Penjualan rokok itu didapati dibuat secara terbuka manakala arak telah ditemukan di stor kedai berkenaan,” kata pegawai pemerintah BN10 Supt Hasnan Karim pada sidang media di sini hari Rabu.

Beliau berkata 343 karton rokok dan 96 kotak arak pelbagai jenama yang dirampas diserahkan kepada pihak Kastam Diraja Malaysia (KDRM) cawangan Sarikei untuk siasatan mengikut Akta Kastam 1967.

Katanya seorang pekerja lelaki berusia 25 tahun dan seorang pemilik kedai lelaki ditahan berhubung kes tersebut.

Menjawab soalan pemberita Hasnan berkata, barangan tersebut tidak dibawa secara terus dari luar Malaysia melalui ‘laluan tikus’ tetapi dibawa dari satu tempat di Sarawak menggunakan treler kontena oleh pihak pembekal.

“Kami percaya, selepas peniaga membeli secara pukal barangan tersebut, ia akan dihantar menggunakan treler kontena pada waktu malam bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya.