Cari Jalan Bantu Usahawan Kraf Ke Pasaran Global

270

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kerajaan dan agensi berkaitan perlu mencari jalan membantu usahawan industri kraf tempatan berkembang sehingga ke pasaran antarabangsa agar dapat menjana ekonomi rakyat serta mencipta peluang pekerjaan baharu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, di Sabah contohnya, pelbagai produk kraf tempatan dihasilkan, namun pasarannya lebih tertumpu kepada pelancong yang datang bukannya untuk dieksport.

Jelas beliau, produk seperti batik amat laku kerana mempunyai keunikan yang menarik minat pelancong, maka dengan adanya sokongan padu usahawan tempatan pasti boleh meningkatkan pengeluaran mereka.

“Selalunya bila kita jual produk di luar negara pasti ada pembeli tetapi bila permintaan itu meningkat kita pula tiada jumlah pengeluaran yang cukup.

“Kita perlu usahakan bantu usahawan ini supaya bukan sahaja produk itu dibeli pelancong yang datang tetapi kita juga menjual di negara mereka,” katanya ketika merasmikan Festival Kraf Tekstil Borneo 2019 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kraftangan Malaysia di pusat beli-belah Suria Sabah.

Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Festivel bermula 12 April hingga 21 April itu disertai 87 usahawan kraf yang menawarkan pelbagai produk antaranya anyaman, batik dan songket kepada para pengunjung pada harga berpatutan.

Bertemakan ‘Jalinan Inspirasi Kehidupan’, festival yang julung kali diadakan itu bertujuan mempromosi dan memasarkan produk tekstil Sabah dan Sarawak.

Mohd. Shafie berkata, beliau secara peribadi meminati kain batik tempatan dan akan menggunakan baju batik setiap hari Jumaat sebagai tanda sokongan kepada industri berkenaan.

Sementara itu menurut beliau, jualan hasil kraftangan Sabah pada tahun lalu adalah RM49.5 juta iaitu jumlah yang tinggi namun masih boleh dipertingkatkan.

“Kalau kita berjaya mengembangkan perniagaan ini pasti membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Kita upah pekerja tempatan, malah bahan-bahan menghasilkan produk kraftangan diperoleh dalam negara melalui anak tempatan juga,” katanya.