Calon Warisan Plus Lancar Gagasan Bersama Bangunkan Sandakan

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Tujuh calon (Parti Warisan Sabah) WARISAN Plus di sini melancarkan agenda gagasan mereka, hari ini dalam usaha membangunkan daerah ini.

Tujuh calon itu ialah Arunarsin Taib bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum-Gum; Prof Dr Mahmud Sudin (Sungai Manila); Armani Mahiruddin (Sungai Sibuga); Alias Sani (Sekong); George Hiew (Karamunting), Calvin Chong (Elopura) dan Frankie Poon (Tanjung Papat).

Gagasan dengan tema ‘Sandakan Berpadu, Sabah Baharu’ itu merangkumi lima usaha iaitu mewujudkan sebuah universiti penuh, meningkatkan perkhidmatan kesihatan awam, rakyat mencorak kebangkitan Sandakan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk warga tempatan dan menambah baik sistem pengangkutan awam.

Dalam kenyataan bersama mereka berkata, gagasan itu adalah bertepatan dengan semangat perpaduan yang menjadi tema utama kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) oleh WARISAN Plus.

Menurut mereka, biarpun diasingkan mengikut daerah, keturunan, agama, latar ekonomi, pendidikan dan budaya, namun semua rakyat berkongsi nilai dan kebimbangan yang serupa.

“Keresahan ekonomi, politik, dan sosial rakyat Malaysia adalah asas yang menyatukan kita semua.

“Rakyat Sandakan berhak untuk mendapat khidmat dan manfaat yang terbaik daripada kerajaan. Ini semua boleh diraih dengan menyatukan seluruh kekuatan dan tenaga politik, sosial dan ekonomi di setiap peringkat agar rakyat Sandakan dan negeri ini dapat mencorak masa depan yang lebih gemilang,” menurut kenyataan itu.

Menerusi agenda mewujudkan universiti penuh, semua calon itu berazam bekerjasama agar sebuah universiti penuh dapat didirikan di daerah ini dalam usaha menangani kekurangan institut pengajian tinggi, sekali gus memberi peluang penduduk tempatan melanjutkan pelajaran.

Agenda kedua pula iaitu meningkatkan kesihatan awam menerusi usaha menambah bilangan doktor dan pakar untuk berkhidmat kepada setengah juta penduduk daerah ini dengan perkhidmatan berkualiti dan kos lebih rendah.

Agenda ketiga iaitu rakyat mencorak kebangkitan Sandakan dengan mewujudkan kualiti hidup rakyat yang lebih baik menerusi inisiatif pimpinan rakyat dan disokong pemerintah dalam usaha membina sebuah bandar lestari dan sembang.

Sementara agenda keempat adalah mewujudkan lebih banyak peluang kerja untuk warga tempatan dengan menggembleng usaha mengembangkan ekonomi dengan norma baru.

Agenda terakhir iaitu menambah baik sistem pengangkutan awam dengan fasiliti lebih mesra pengguna, meningkatkan kecekapan perkhidmatan supaya jurang bandar dan luar bandar dapat dikurangkan.