Calon Warisan Dicadang Isytihar Harta Sebelum Bertanding

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Pengisytiharan harta dan sumber pendapatan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah  kepada presiden parti dilihat sebagai satu tindakan yang wajar.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata kaedah itu dapat menggelakkan salah guna kuasa di masa hadapan selepas menjadi wakil rakyat.

“Biasanya pengisytiharan harta dan sumber pendapatan itu dilakukan selepas menang bertanding.

“Namun, bagi saya, kaedah baharu ini adalah satu polisi yang bagus untuk bakal calon yang bertanding mewakili parti masing-masing,” katanya, hari ini.

Terdahulu, Liew menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi sayap Wanita, Wira serta Wirawati dan Bahagian Lahad Datu, di Dewan Plasma MPOB, Tungku, di sini.

“Dalam masa sama, saya berhasrat untuk membawa isu berkenaan ke persidangan dewan rakyat akan datang bagi membolehkan semua anggota parlimen yang tidak berjawatan termasuk dalam barisan kabinet mengisytiharkan harta masing-masing.

“Misalnya Ahli Parlimen Pekan perlu isytihar harta, kerana pada pemerintahan kerajaan lalu (Pakatan Harapan) kita buat isytihar harta,” katanya lagi.