Calon SPM Maut Kemalangan

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah pacuan empat roda di Jalan Utara Baru, di sini, semalam.

Muhammad Nazrul

Dalam kejadian pukul 8.35 malam itu, mangsa Muhammad Nazrul Hisyam, 17, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tawau, sejam kemudian.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas menerusi kenyataan media hari ini, berkata, terdahulu, mangsa dalam perjalanan dari Taman Ria menuju ke rumahnya di Tanjung Batu.

“Sebaik tiba di lokasi, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berumur 30 tahun dari arah bertentangan, memasuki laluan mangsa sebelum membelok ke simpang sebelah kanan secara tiba-tiba.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak menyebabkan motosikal yang dinaikinya dirempuh sebelum diseret lebih tiga meter oleh kenderaan suspek,” katanya.

Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke atas jalan raya dan mengalami beberapa kecederaan di beberapa anggota badan.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 9.32 malam, semalam.

“Polis turut menahan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Difahamkan sehingga kini mayat Muhammad Nazrul masih di hospital bagi membolehkan ujian saringan Covid-19 dilakuman sebelum proses pengkebumian.