Calon dan Kerusi Parlimen Bakal Ditandingi Warisan Pada PRU-15 Ambil Kira Pelbagai Faktor

KOTA KINABALU : Persoalan mengenai siapa calon dan kawasan Parlimen yang ditandingi Parti Warisan (Warisan) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk situasi politik semasa dan akan diumumkan apabila tiba masanya kelak.

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata ketika ini fokus utama adalah memperkukuhkan parti dan juga persiapan Mesyuarat Agung Tahunan Warisan dan pemilihan parti di KDCA, Penampang pada 26 dan 27 Ogos ini.

Katanya, kerjasama dengan parti lain untuk menghadapi PRU-15 juga belum dibincangkan.

“Setakat ni belum ada bincang kerjasama dengan parti lain kerana kita fokus kepada AGM.

“Kita tidak bincang secara terperinci tentang gabungan dengan mana-mana parti pun, kita kena ada kesiap siagaan kita dahulu seperti yang selalu saya peringatkan, perkuatkan rumah kita dahulu, perbaiki rumah kita dulu selepas itu kita lihat bagaimana keadaan yang akan berlaku khususnya di peringkat Sabah.

Ketika ditanya sama ada Warisan akan bertanding di kesemua 25 kerusi di Sabah dan 1 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Shafie berkata perkara itu akan diketahui apabila tiba masanya kelak.

“Kita akan lihat keadaan dia. Bila dah berlaku tu…the time will come…strenghten the party.

“Well, kita akan lihat keadaan dia, seperti yang saya nyatakan, kalaulah PBS ada then kita halusilah dengan PBS, kalau tidak ada, tidak adalah tu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti Warisan di Kolombong, dekat sini, semalam.

Sebelum ini, Mohd Shafie pernah menyatakan Warisan berminat untuk menjalinkan kerjasama politik dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) kerana berpendapat dua parti berkenaan mempunyai persamaan dari segi perjuangan khususnya berkaitan hak Sabah sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili juga pernah membuat kenyataan yang mereka bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk Warisan jika memberi manfaat kepada rakyat Sabah.