Calon-calon Warisan Selesai Mengundi

KOTA KINABALU: Calon-calon Parti Warisan (Warisan) selesai mengundi di kawasan Parlimen masing-masing pagi tadi.

Di Semporna, Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal selesai mengundi pada jam 8.13 pagi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bubul.

Mohd Shafie yang memenangi kerusi Parlimen Semporna selama enam penggal berhadapan persaingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

Di kerusi Parlimen Semporna, beliau akan bersaing dengan Nixon Abdul Habi dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Arastam Im Pandorog dari Pakatan Harapan (PH) dan Ab Rajik Ab Hamid dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Sementara itu, di Sepanggar, Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman dan isterinya, Datin Norlizah Awang Ahmad selesai mengundi pada jam 9.17 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya.

Di kerusi Parlimen Sepanggar, Mohd Azis berhadapan saingan lima penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Yakub Khan, Mustapha Sakmud (PH), Jumardie Lukman dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Yusof Kunchan (Pejuang).

Di Parlimen Tuaran, calon Warisan, Jo-Anna Sue Henley Rampas selesai mengundi pada jam 11.53 pagi di SMK Tun Fuad Stephenes, Kiulu.

Kerusi Parlimen Tuaran menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Jo-Anna, Datuk Joniston Bangkuai (GRS), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (PH), Muminin Norbinsha (Pejuang) dan dua calon Bebas iaitu Noortaip Suhaili @ Sualee dan Boby Lewat.