Cadangan Pemberian IMM13 Sedang Diperhalusi – KDN

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Cadangan penggunaan IMM13 sebagai dokumen tunggal pelarian dan warga asing di Sabah sedang diperhalusi Kerajaan Persekutuan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tiada tempoh masa ditetapkan dalam mengkaji keperluan menyeragamkan dokumentasi pelarian perang dan warga asing di Sabah.

Katanya, sebaik sahaja pelan tindakan mengenai penyeragaman dokumen itu tersedia, pelaksanaan akan dibuat segera.

Sebelum ini dalam persidangan Dewan Rakyat, beliau dipetik berkata, cadangan menggunakan dokumen tunggal IMM13 bagi menggantikan Kad Burung Burung dan Sijil Banci yang dimiliki warga asing di Sabah akan diteliti Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS).

Menurutnya, cadangan menggunakan dokumen tunggal itu bagaimanapun tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan semua warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) mempunyai satu dokumen perjalanan yang sah.

Mengenai usaha mengempur PATI di Sabah pula, Hamzah berkata, ia perlu dimulakan segera bagi menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan sejak berpuluh tahun ini.

Beliau berkata, isu PATI perlu diselesaikan tidak kira sama ada sudah cukup persediaan mahupun tidak, langkah permulaan harus diambil.

“Bila isu ada depan kita dan kita tidak ambil tindakan, isu ini akan bertambah besar. Jadi kita kena ambil langkah permulaan. Kita kena ada perancangan untuk mulakan. Jika tiada perancangan maka, tiada tindakan akan diambil pada masa hadapan.

“Apa yang kita buat sekarang adalah rancang dan ambil tindakan segera sama ada kita mampu buat sekarang atau kemudian, itu tidak kisah asalkan kita perlu melakukan sesuatu untuk memastikan isu (PATI) ini boleh diselesaikan. Ia mungkin ambil masa setahun atau lima tahun tapi, kita kena selesaikannya,” katanya bagi mengulas langkah membanteras PATI secara besar-besaran di Sabah.

Beliau berkata demikian semasa perjumpaan bersama pegawai dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sabah, hari ini.

Hamzah berkata, biarpun pusat tahanan sementara (PTS) di Sabah agak sesak namun, strategi akan dilakukan bagi menempatkan PATI yang ditahan dalam operasi secara besar-besaran ini. Misalnya, PATI yang ada di Semenanjung Malaysia telah dihantar pulang semasa berlakunya pandemik Covid-19.

“Walau ada negara tidak mahu mengambil rakyatnya kerana takut berlaku penularan Covid-19 namun, kedudukan Malaysia jauh lebih baik berbanding negara asal individu yang kita mahu hantar pulang ini.

“Kita akan bekerjasama secara dua hala dengan negara-negara tersebut dan kita akan pastikan kita hantar pulang individu yang tidak berpenyakit serta tidak dijangkiti Covid-19,” jelasnya.