Cadangan Naikkan Kadar Bantuan JKM Akan Dibentang Ke Kabinet Negeri

3004

SANDAKAN: Cadangan menaikkan Skim Bantuan Am dan Skim Bantuan Anak Yatim di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sabah akan dibentangkan dalam kabinet negeri untuk dilaksanakan pada tahun hadapan.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Stephen Wong Tien Fatt hari ini berkata sudah sampai masanya kadar skim bantuan itu dinaikkan berikutan peningkatan kos sara hidup.

Bagi skim bantuan am, cadangan menaikkan kadar minimum dari RM150 kepada RM250 sebulan dan kadar maksimum dari RM300 kepada RM500 sebulan. Manakala bagi kadar skim bantuan anak yatim, cadangan menaikkan dari RM200 sehingga RM500 sebulan.

Sehingga Jun lepas, jumlah penerima Skim Bantuan Am di negeri ini berjumlah 17,874 orang dan 2,205 penerima untuk Skim Bantuan Anak Yatim.

Beliau berkata cadangan menaikkan kedua-dua skim bantuan itu dikemukakan oleh JKM Sabah kepada kementeriannya yang diputuskan menerusi Persidangan Pegawai-pegawai Kebajikan jabatan itu selama tiga hari berakhir hari ini, yang dihadiri 78 pegawai JKM Sabah termasuk Pengarahnya Mohd Noor Wahab.

“Kita berharap cadangan itu akan diluluskan menerusi bajet negeri pada tahun hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian dan penutupan persidangan itu di sini.

Stephen yang juga Anggota Parlimen Sandakan berkata terdapat tiga lagi cadangan dikemukakan kepada kementeriannya menerusi persidangan tersebut iaitu tempoh kelulusan bantuan untuk dipanjangkan dari setahun kepada dua tahun bagi setiap kali kelulusan baru.

Katanya cadangan kedua adalah proses permohonan setiap bantuan JKM dipermudahkan dan tidak perlu lagi pengesahan pendapatan daripada pihak ketiga iaitu memadai dengan penilaian oleh Pegawai Kebajikan yang membuat siasatan.

Menurutnya cadangan ketiga adalah meminta Kerajaan Negeri memberi keutamaan untuk menambah bilangan kakitangan JKM di negeri ini yang mengalami kekurangan yang kritikal.

Beliau, yang juga Pengerusi DAP Sabah, bersetuju dengan cadangan itu sejajar dengan komitmen Kerajaan Negeri Sabah untuk mengurangkan birokrasi dalam memastikan bantuan menerusi JKM Sabah sampai kepada rakyat.